Tuesday, March 9, 2010

MEMAHAMI MANUSIA BERDASARKAN KEKUATAN DAN KELEMAHAN:

“Daripada Abi Hurairah telah berkata, telah bersabda Rasulullah SAW : Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah” .Hadis ini menjelaskan bahawa individu mukmin iaitu lelaki atau perempuan yang beriman itu terbahagi kepada dua kategori. Pertama, mukmin yang kuat dan kedua adalah mukmin yang lemah. Menurut Imam al-Nawawi maksud kuat di dalam hadis di atas ialah keazaman diri dan sikap bersungguh-sungguh terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan akhirat. Individu yang mempunyai sifat ini senantiasa mengambil perhatian serius dengan bermujahadah diri terhadap perintah dan larangan Allah. Mereka benar-benar bertekad dan komited dalam perkara amar ma’ruf nahi munkar (menyeru berbuat baik dan menegah dari melakukan kemaksiatan). Sabar dalam ujian berdakwah dan amat suka melakukan ketaatan kepada Allah Taala . Dengan ini dapat difahami bahawa sifat al-quwwah (kuat) bererti bukan sahaja kekuatan dari sudut tubuh badan atau senjata yang berbentuk luaran semata-mata tetapi kekuatan sebenarnya ialah kekuatan iman (dalaman) yang mantap terhadap ketaatan kepada suruhan dan larangan Allah sehingga melahirkan sifat muttaqi (bertakwa). Manakala sifat lemah pula adalah sifat yang berlawanan dengan ciri-ciri kuat yang telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di atas. Justeru itu pengkaji melalui kertas kerja ringkas ini akan membuat kajian terhadap ayat-ayat al-Quran terpilih yang menunjukkan ciri-ciri kekuatan dan kelemahan manusia atau insan dengan tujuan untuk memahami manusia itu sendiri. Memetik satu ungkapan daripada Professor Yusof Dr. al-Qardawi “Tidak susah untuk membina bangunan-bangunan yang tinggi tetapi amat sukar untuk membina individu iaitu manusia di dalamnya”

No comments: