Friday, March 20, 2009

Moh.... Kita Ke Masjid

Assalamualaikum, Sedikit Renungan Untuk Kita Semua, Hanya sekadar untuk
pesanan kita bersama. Sesungguhnya kita adalah insan yang perlu selalu ingat mengingat.

Dari Ubai bin Kaab r.a katanya

“Ada seorang lelaki yang setahu ku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jemaah. Kata orang kepadanya “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik “Dia menjawab “Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkah ku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagi ku “Sabda Rasulullah SAW “Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu”.

Begitu indah “panggilan Allah” sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah(Masjid/Surau). Maka sesuai dengan kemajuan juga, banyak masjid dan surau yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika masjid dan surau itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana. Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaian terhadap solat berjemaah. Ini terbukti apabila kebanyakan Masjid dan Surau tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi Masjid/Surau amat luas iaitu selain dari menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Hari ini apa yang menjadikan surau meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya . Meskipun kedudukan Masjid/Surau tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana . Kata orang hujan dan ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Namun jika hendak ke Masjid/Surau, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke Masjid/Surau. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang dari Allah dengan sifat pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberi kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah. Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepada-Nya dan datang beramai-ramai ke masjid/Surau untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekali pun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanya makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya.

Justeru kita hidupkanlah masjid/surau kita sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara sendirian ataupun bersama keluarga. Rebutlah peluang sempena cuti sekolah kali ini untuk sama-sama mendekatkan hati ahli keluarga kita dengan Rumah Allah …..

No comments: